Monday 19 September 2011

LAWATAN KGKT SMKBS KE LANGKAWI PERMATA KEDAH

Seramai 33 orang ahli KGKT berserta keluarga masing-masing telah membuat lawatan ke Langkawi Permata Kedah pada 15 hb September hingga 18 hb September 2011 yang lalu. Cuti sempena Hari Malaysia telah dimanfaatkan untuk melancong ke pulau yang penuh dengan legenda Mahsuri tersebut. Ada dua jalan ke pulau ini, iaitu menaiki feri dari Kuala Perlis atau Kuala Kedah, dan menaiki pesawat dari Subang atau KLIA.

Feri Langkawi laju dan besar penuh dengan pelancong dalam dan luar negara





Cikgu Izzuddin dan anak-anak menanti giliran menaiki kereta kabel.



Para peserta lawatan telah berkesempatan menaiki kereta kabel yang terletak di Gunung Mat Chinchang. Menurut lagenda, terdapat dua makhluk halus yang berbalah ketika majlis perkahwinan anak mereka. Kononnya mereka disumpah oleh Sang Kelembai menyebabkan kedua-duanya bertukar menjadi gunung. Perjalanan ke puncak gunung mengambil masa 10-15 minit, cukup untuk menyebabkan degup jantung menjadi laju. Ini kerana ketinggian kereta kabel hingga ke puncak mencapai jarak 700 meter dari aras laut.

Kereta kabel hanya boleh menampung enam orang penumpang dalam satu masa



Melihat helang berdada putih dan kelabu menyambar makanan di air tenang

Selain itu, mereka juga telah mengunjungi produk pelancongan paling berharga di Langkawi iaitu Kilim Geoforest Park, iaitu Taman Hutan Dunia Langkawi yang mendapat pengiktirafan UNESCO. Hutan paya bakau berusia jutaan tahun ini mempunyai keunikan yang tersendiri. Antaranya menelusuri Gua Kelawar yang dihuni ribuan kelawar. Di samping itu, peserta ditunjukkan proses kejadian stalaktait dan stalakmait. Perjalanan menaiki bot yang boleh mengisi 10 penumpang cukup menggembirakan anak-anak yang baru merasai pengalaman tersebut.

Setiap penumpang diwajibkan memakai jaket keselamatan



Bentuk batuan di puncak seolah-olah penyu mendongak


Terpaku melihat ciptaan Allah; batu kapur berbentuk buaya, dinasor dan katak




Peserta lawatan terpegun melihat ikan pari besar yang jinak




Pasir Hitam, kononnya tempat sumpahan Ikan Duyung



izzuddin_ali@yahoo.com.my

Friday 26 August 2011

MAJLIS PENYAMPAIAN SUMBANGAN HARI RAYA SMKBS MERIAH

Pada 26 Ogos 2011, SMK Batu Sepuluh, Lekir telah mengadakan majlis penyampaian sumbangan Hari Raya untuk pelajar miskin dan anak yatim. Majlis tersebut merupakan aktiviti tahunan yang diadakan dengan kerjasama agensi seperti Tabung Haji, PIBG, KGKT dan orang-orang perseorangan.

Majlis dimulakan dengan acara khatam Quran melibatkan pelajar lelaki dan perempuan yang berjaya menamatkan bacaan 30 Juzuk kitab suci tersebut sepanjang bulan Ramadhan. Ustaz Ahmad Junaidi Mohd Said memimpin majlis khatam Quran dengan disaksikan oleh pengetua, guru-guru dan pelajar lain.

Tuan Haji Shaifuddin bin Haji Masduki, pengetua SMK Batu Sepuluh, Lekir turut hadir memeriahkan majlis. Beliau turut menyampaikan sumbangan berupa wang tunai, dan kuih raya kepada pemenang pertandingan kuiz Ihya Ramadhan. Selain itu, pelajar yang kurang bernasib baik, serta kumpulan pelajar anak yatim turut diraikan dengan sumbangan duit raya.

Pada akhir majlis, semua pelajar bersalam-salaman dengan guru-guru berlatarbunyikan lagu hari raya yang dikendalikan oleh unit ICT. Setiap pelajar juga dihadiahkan cenderahati berupa buku panduan solat dan kuih raya.
Ustazah Norfaridah bertanya soalan kuiz Ihya Ramadhan
Pelajar tekun memberi perhatian semasa majlis berlangsung
Barisan guru yang hadir dan memberi sokongan
Guru wanita dan pelajar perempuan yang turut hadir
Pengetua sedang memberi ucapan Hari Raya
Majlis bersalaman dengan guru
Majlis bersalaman diasingkan mengikut jantina
Disediakan oleh : Noor Izzuddin Ali Hassan
Facebook/Izzuddin Ali

Wednesday 24 August 2011

PROGRAM BULAN BAHASA 2011 PERINGKAT SEKOLAH ANJURAN BERSAMA PUSAT SUMBER

Pengenalan
Bahasa merupakan satu medium yang dapat meningkatkan tamadun sesebuah masyarakat. Bahasa dan sastera saling berkait rapat dan menjadi lambang kemajuan sejak berkembangnya tulisan. Panitia Bahasa Melayu berasakan Bulan Bahasa dan Sastera perlu dilaksanakan demi kesinambungan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan . Selain itu Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab perlu juga diberi penekanan memandangkan bahasa tersebut juga bahasa komunikasi digunakan di seluruh dunia. Ini bertepatan dengan slogan “Memperkasakan Bahasa Inggeris dan Memartabatkan Bahasa Melayu” Ia juga adalah sebagai menyambut usaha Kerajaan iaitu Julai adalah Bulan Bahasa. Oleh yang demikian, pelajar tingkatan 1-5 SMK Batu Sepuluh, Lekir  perlu didedahkan dalam aktiviti bahasa  bagi meningkatkan kreativiti diri dalam pelbagai aktiviti bahasa. Ini akan membantu mereka menonjolkan bakat baik dalam bidang akademik mahupun bidang ko-kurikulum.

Objektif
  • Melahirkan pelajar yang  berkeyakinan diri yang tinggi
  • Melahirkan pelajar yang bersemangat untuk mencungkil bakat dalam aktiviti
  • Mewujudkan semangat kerjasama berkumpulan dan berdikari

Aktiviti
  • Memasang bannar
  • Pertandingan drama Bahasa Melayu
  • Pertandingan puisi dan lagu
  • Pertandingan menulis sajak, cerpen dan esei bahasa Melayu
  • Pertandingan tulisan Khat
  • Pertandingan penulisan bahasa Arab
  • Pertandingan esei Bahasa Inggeris
  • Bicara tokoh/ulasan buku Pusat Sumber
  • Persembahan pelajar
Sumber Tenaga
  • SMKBS
  • Panitia Bahasa Melayu
  • Panitia Bahasa Arab
  • Panitia Bahasa Inggeris
  • Panitia SRT
  • Pusat Sumber
  • Semua Guru BM, BI dan BA
  • Pengawas dan pelajar

Tuesday 23 August 2011

IMAM MUDA HASSAN ADLI KE SMKBS SEMPENA RAMADHAN 1432H

Pada tanggal 23 hb Ogos 2011, bersamaan 23 Ramadhan 1432H, juara Imam Muda 2011, saudara Ahmad Hassan Adli bin Yahya telah datang menyampaikan pengisian Ramadhan kepada pelajar dan guru SMK Batu Sepuluh, Lekir. Beliau ditemani pegawai perhubungan yang juga abang iparnya, saudara Shaharuddin Saari.
Mereka disambut oleh pengetua SMK Batu Sepuluh, Haji Shaifuddin bin Haji Masduki. Turut menyambut kedatangan beliau, adalah Penolong Kanan HEM. Encik Abdul Hakim bin Mohd Isa, dan Penolong Kanan Kokurikulum, En. Noor Izzuddin bin Ali Hassan.
Tuan pengetua menyambut kedatangan IM Hassan Adli di pejabat beliau
Ceramah Ramadhan bermula 10.30 pagi dipengerusikan oleh Ustaz Mohd Imran bin Mohd Idris di kantin sekolah. IM Hassan bijak mengawal suasana menyebabkan lebih 1100 orang pelajar dan guru dapat memberi perhatian kepada pengisian yang disampaikannya. Dalam perkongsian pengalamannya, IM Hassan menceritakan bagaimana sedih perasaannya ketika menguruskan jenazah pesakit HIV positif. Beliau turut memberikan motivasi kepada pelajar SMKBS agar menjaga perilaku dan akhlak sebagai Muslim. Ceramah beliau diselangselikan dengan jenaka yang menyebabkan para audiens tidak hilang tumpuan terhadap apa yang disampaikan.
IM Hassan Adli sedang menyampaikan ceramah Ramadhan kepada pelajar SMKBS
Selesai ceramah, IM Hassan turut mengadakan kuiz mudah untuk pelajar. Pelajar yang menjawab soalan kuiz diberi hadiah yang unik, iaitu sekeping poskad bertanda tangan juara musim ke-2 tersebut.
Seorang pelajar perempuan menjawab soalan kuiz
IM Hassan bertanyakan soalan kuiz kepada seorang pelajar lelaki
Sesi fotografi tidak dilepaskan oleh para pelajar untuk bersama ikon remaja
Barisan guru SMKBS turut bergambar dengan juara Imam Muda 2011