Friday, 26 August 2011

MAJLIS PENYAMPAIAN SUMBANGAN HARI RAYA SMKBS MERIAH

Pada 26 Ogos 2011, SMK Batu Sepuluh, Lekir telah mengadakan majlis penyampaian sumbangan Hari Raya untuk pelajar miskin dan anak yatim. Majlis tersebut merupakan aktiviti tahunan yang diadakan dengan kerjasama agensi seperti Tabung Haji, PIBG, KGKT dan orang-orang perseorangan.

Majlis dimulakan dengan acara khatam Quran melibatkan pelajar lelaki dan perempuan yang berjaya menamatkan bacaan 30 Juzuk kitab suci tersebut sepanjang bulan Ramadhan. Ustaz Ahmad Junaidi Mohd Said memimpin majlis khatam Quran dengan disaksikan oleh pengetua, guru-guru dan pelajar lain.

Tuan Haji Shaifuddin bin Haji Masduki, pengetua SMK Batu Sepuluh, Lekir turut hadir memeriahkan majlis. Beliau turut menyampaikan sumbangan berupa wang tunai, dan kuih raya kepada pemenang pertandingan kuiz Ihya Ramadhan. Selain itu, pelajar yang kurang bernasib baik, serta kumpulan pelajar anak yatim turut diraikan dengan sumbangan duit raya.

Pada akhir majlis, semua pelajar bersalam-salaman dengan guru-guru berlatarbunyikan lagu hari raya yang dikendalikan oleh unit ICT. Setiap pelajar juga dihadiahkan cenderahati berupa buku panduan solat dan kuih raya.
Ustazah Norfaridah bertanya soalan kuiz Ihya Ramadhan
Pelajar tekun memberi perhatian semasa majlis berlangsung
Barisan guru yang hadir dan memberi sokongan
Guru wanita dan pelajar perempuan yang turut hadir
Pengetua sedang memberi ucapan Hari Raya
Majlis bersalaman dengan guru
Majlis bersalaman diasingkan mengikut jantina
Disediakan oleh : Noor Izzuddin Ali Hassan
Facebook/Izzuddin Ali

Wednesday, 24 August 2011

PROGRAM BULAN BAHASA 2011 PERINGKAT SEKOLAH ANJURAN BERSAMA PUSAT SUMBER

Pengenalan
Bahasa merupakan satu medium yang dapat meningkatkan tamadun sesebuah masyarakat. Bahasa dan sastera saling berkait rapat dan menjadi lambang kemajuan sejak berkembangnya tulisan. Panitia Bahasa Melayu berasakan Bulan Bahasa dan Sastera perlu dilaksanakan demi kesinambungan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan . Selain itu Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab perlu juga diberi penekanan memandangkan bahasa tersebut juga bahasa komunikasi digunakan di seluruh dunia. Ini bertepatan dengan slogan “Memperkasakan Bahasa Inggeris dan Memartabatkan Bahasa Melayu” Ia juga adalah sebagai menyambut usaha Kerajaan iaitu Julai adalah Bulan Bahasa. Oleh yang demikian, pelajar tingkatan 1-5 SMK Batu Sepuluh, Lekir  perlu didedahkan dalam aktiviti bahasa  bagi meningkatkan kreativiti diri dalam pelbagai aktiviti bahasa. Ini akan membantu mereka menonjolkan bakat baik dalam bidang akademik mahupun bidang ko-kurikulum.

Objektif
  • Melahirkan pelajar yang  berkeyakinan diri yang tinggi
  • Melahirkan pelajar yang bersemangat untuk mencungkil bakat dalam aktiviti
  • Mewujudkan semangat kerjasama berkumpulan dan berdikari

Aktiviti
  • Memasang bannar
  • Pertandingan drama Bahasa Melayu
  • Pertandingan puisi dan lagu
  • Pertandingan menulis sajak, cerpen dan esei bahasa Melayu
  • Pertandingan tulisan Khat
  • Pertandingan penulisan bahasa Arab
  • Pertandingan esei Bahasa Inggeris
  • Bicara tokoh/ulasan buku Pusat Sumber
  • Persembahan pelajar
Sumber Tenaga
  • SMKBS
  • Panitia Bahasa Melayu
  • Panitia Bahasa Arab
  • Panitia Bahasa Inggeris
  • Panitia SRT
  • Pusat Sumber
  • Semua Guru BM, BI dan BA
  • Pengawas dan pelajar

Tuesday, 23 August 2011

IMAM MUDA HASSAN ADLI KE SMKBS SEMPENA RAMADHAN 1432H

Pada tanggal 23 hb Ogos 2011, bersamaan 23 Ramadhan 1432H, juara Imam Muda 2011, saudara Ahmad Hassan Adli bin Yahya telah datang menyampaikan pengisian Ramadhan kepada pelajar dan guru SMK Batu Sepuluh, Lekir. Beliau ditemani pegawai perhubungan yang juga abang iparnya, saudara Shaharuddin Saari.
Mereka disambut oleh pengetua SMK Batu Sepuluh, Haji Shaifuddin bin Haji Masduki. Turut menyambut kedatangan beliau, adalah Penolong Kanan HEM. Encik Abdul Hakim bin Mohd Isa, dan Penolong Kanan Kokurikulum, En. Noor Izzuddin bin Ali Hassan.
Tuan pengetua menyambut kedatangan IM Hassan Adli di pejabat beliau
Ceramah Ramadhan bermula 10.30 pagi dipengerusikan oleh Ustaz Mohd Imran bin Mohd Idris di kantin sekolah. IM Hassan bijak mengawal suasana menyebabkan lebih 1100 orang pelajar dan guru dapat memberi perhatian kepada pengisian yang disampaikannya. Dalam perkongsian pengalamannya, IM Hassan menceritakan bagaimana sedih perasaannya ketika menguruskan jenazah pesakit HIV positif. Beliau turut memberikan motivasi kepada pelajar SMKBS agar menjaga perilaku dan akhlak sebagai Muslim. Ceramah beliau diselangselikan dengan jenaka yang menyebabkan para audiens tidak hilang tumpuan terhadap apa yang disampaikan.
IM Hassan Adli sedang menyampaikan ceramah Ramadhan kepada pelajar SMKBS
Selesai ceramah, IM Hassan turut mengadakan kuiz mudah untuk pelajar. Pelajar yang menjawab soalan kuiz diberi hadiah yang unik, iaitu sekeping poskad bertanda tangan juara musim ke-2 tersebut.
Seorang pelajar perempuan menjawab soalan kuiz
IM Hassan bertanyakan soalan kuiz kepada seorang pelajar lelaki
Sesi fotografi tidak dilepaskan oleh para pelajar untuk bersama ikon remaja
Barisan guru SMKBS turut bergambar dengan juara Imam Muda 2011


Wednesday, 17 August 2011

PROGRAM PEMBUDAYAAN 5S



PENGENALAN PROGRAM
Zaman remaja penuh dengan ujian dan rintangan. Masalah kekeliruan dan tiada keyakinan diri, sukar membuat keputusan serta pelbagai lagi masalah sering mendatangi remaja. Berkesinambungan itu menyebabkan remaja hilang tumpuan serta tercari-cari rumusan yang tepat untuk menghadapi dan menyelesaikan kemelut ini. Atas rasa kesedaran itulah, pihak sekolah merancang untuk melaksanakan Program Pembudayaan Sekolah melalui 5S iaitu "Senyum, Sapa, Salam, Sopan dan Santun". Diharapkan program ini dapat dijadikan sebagai platform untuk para pelajar menghadapi masalah dan mencorakkan suasana yang mendorong remaja lebih berdaya maju dan mempunyai jati diri yang cemerlang.
Moga ia tidak sekadar menjadi hiasan di papan tanda sahaja

MATLAMAT PROGRAM
Program Pembudayaan 5S diharapkan agar dapat memantapkan lagi kualiti disiplin dan sahsiah pelajar, mengukuhkan pembudayaan adab serta mengukuhkan lagi pembentukan jati diri dalam kalangan warga sekolah.

OBJEKTIF PROGRAM
  • Melahirkan murid yang berdisiplin, berketrampilan dan mempunyai daya saing yang tinggi.
  • Mewujudkan suasana persekitaran sekolah yang harmoni dan selamat.
  • Mengurangkan kes salah laku disiplin murid sekurang-kurangnya 50%.
  • Membentuk sikap jati diri, berfikiran positif terhadap diri sendiri, rakan sebaya dan sekolah.
  • Mengamalkan budaya memberi salam, senyum, sopan, sapa dan santun kepada semua guru, tetamu dan rakan.
AKTIVITI PROGRAM YANG MELIBATKAN PUSAT SUMBER SEKOLAH
  • Pertandingan Melukis Logo 5S
  • Pertandingan Antara Kelas Bertemakan 5S
  • Pertandingan Keceriaan Kelas
  • Program Pengukuhan dan Tazkirah 5S
  • Kempen Budi Bahasa
  • Pembelian Buku Bertemakan Budaya 5S
  • Pameran Sudut 5S (Informasi, gambar, buku skrap, lukisan dan lain-lain hasil kerja pelajar)

Tuesday, 16 August 2011

SECEBIS TAZKIRAH RAMADHAN UNTUK RENUNGAN

6 Kelebihan Puasa Ramadhan
  • Berpuasa dengan penuh keikhlasan, ganjarannya sangat besar. Hanya Allah yang tahu nilai ganjarannya.
  • Sehari berpuasa, Allah akan menjauhkan wajah pelaku puasa itu daripada neraka selama 70 tahun.
  • Puasa akan memberi syafaat kepada yang melakukannya sehingga ia akan memasukkannya ke dalam syurga.
  • Pintu ar-Rayyan dalam syurga akan hanya dimasuki oleh orang-orang yang berpuasa.
  • Puasa Ramadhan yang ikhlas kerana Allah menghapuskan dosa-dosa yang telah lalu.
  • Doa orang berpuasa di bulan Ramadhan dikabulkan Allah. 
Buffet Ramadhan Mencemar Roh Ramadhan
  • Sebahagian hikmah utama Ramadhan adalah untuk merasai penderitaan orang-orang yang dalam kesusahan dan kelaparan. Harga puluhan malah mencecah ratusan ringgit seorang untuk sekali berbuka nyata membazir dan keterlaluan.
  • Di antara latihan ibadah puasa adalah mengawal hawa nafsu. Berbuka dengan melayani nafsu secara "all-you-can-eat" melalui Buffet Ramadhan ini tersasar dari objektif asas Ramadhan.
  • Berbuka di hotel menjauhkan kita dan keluarga dari suasana ibadah di masjid atau surau. Meskipun ada ruang solat disediakan, suasana mewah dan berseronok akan mempengaruhi proses pendidikan Ramadhan, terutamanya ke atas kanak-kanak.
  • Berbuka di hotel belum tentu kesucian dan kehalalannya. Tidak banyak hotel yang menerima sijil halal JAKIM.
  • Semacam ada pandangan rendah diletakkan kepada orang Islam yang berpuasa ; hidangkan makanan yang banyak kerana mereka akan makan banyak! Maka, elakkanlah walaupun kita mungkin mampu.
Amalan Di Bulan Ramadhan
1. Qiamu Ramadhan iaitu Solat Sunat Tarawih
  • Rasulullah S.A.W bersabda : "Barang siapa yang mendirikan Qiyamu Ramadhan dengan penuh keimanan dan berharap pahala Allah, maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu." (Hadis Riwayat Imam Bukhori dan Imam Muslim)
2. Bersedekah
  • Ertinya : "Seutama-utama sedekah adalah sedekah di bulan Ramadhan." (Hadis Riwayat Tirmidzi)
3. Memberi Makan Orang Berbuka Puasa
  • Rasulullah S.A.W bersabda : : "Barang siapa yang memberi makan orang yang berbuka puasa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikit pun pahala orang yang berpuasa tadi." (Hadis Riwayat Imam Ahmad, An-Nasa'i dan disahihkan oleh Syaikh Al-Albani Rahimahullah)
4. Mencari Dan Menghidupkan Lailatul Qadar Di Bulan Ramadhan
  • Rasulullah S.A.W bersabda : "Barang siapa yang mendirikan qiyamullail pada saat Lailatul Qadar kerana iman dan mengharap pahala Allah, nescaya diampuni dosa-dosa yang telah lalu." (Hadis Riwayat Imam Bukhor dan Imam Muslim)
5. Memperbanyakkan Zikir Dan Doa Di Bulan Ramadhan
  • Siang dan malam hari di bulan Ramadhan adalah waktu yang memiliki keutamaan, maka istilah dengan membaca al-Qur'an, memperbanyakkan zikir, doa, istighfar, khususnya di waktu-waktu tertentu dikabulkannya doa, antara lain iaitu waktu berbuka puasa. Bagi orang yang berpuasa ketika berbuka puasa memiliki doa yang tidak akan ditolak oleh Allah S.W.T.