PROFIL SEKOLAH

Maklumat Asas Sekolah
SMK Batu Sepuluh adalah sebuah sekolah menengah asrama harian negeri Perak. Lokasi sekolah ini terletak 16km dari bandar Sitiawan dengan keluasan tapak 25 hektar. Sekolah ini bermula pada tahun 1988 dengan menumpang di bangunan Sekolah Kebangsaan Batu Sepuluh, Lekir dengan seramai 147 orang pelajar terdiri dari satu kelas Rancangan Khas Agama dan 4 kelas biasa. Pada tahun 1992, SMK Batu Sepuluh berpindah ke bangunan sendiri yang terdiri daripada dua blok bangunan 4 tingkat dan kumpulan pertama sekolah ini menduduki SPM pada tahun 1993. Dua blok bangunan asrama dengan kapasiti 300 pelajar mula diduduki oleh pelajar pada tahun 2001. Kemudahan asrama adalah untuk menempatkan pelajar Rancangan Khas yang dipilih oleh JPN Perak. Pada tahun yang sama, SMK Batu Sepuluh merupakan sekolah menengah pertama di daerah Manjung yang menawarkan mata pelajaran MPV iaitu Landskap dan Seni Reka Tanda. Bagi memastikan pelajar-pelajar Pendidikan Khas kawasan Lekir berpeluang untuk menyambung pelajaran di peringkat menengah, dua blok bangunan telah disediakan. Pada tahun 2008, sekolah ini telah memulakan kelas Pendidikan Khas. Pada tahun 2009, satu blok baru menempatkan 10 bilik darjah dan ruangan pejabat mula digunakan. Kini SMK Batu Sepuluh mempunyai 90 orang guru, 1049 orang pelajar, dan 38 kelas termasuk kelas Pendidikan Khas. Antara keistimewaan SMK Batu Sepuluh ialah pengurusan pembelajaran mengikut ISO : 9001 2008 sejak tahun 2007, kelas Rancangan Khas (KRK) dan kelas Aliran Agama (KAA) bagi Tingkatan 1 hingga 3, kelas aliran agama (Bahasa Arab Tinggi, Pendidikan Syariah Islamiah dan Pendidikan Qur’an Sunnah) bagi Tingkatan 4 dan 5, kelas MPV (Landskap dan Seni Reka Tanda) bagi Tingkatan 4 dan 5, kelas Pendidikan Khas dan kemudahan asrama dengan kapasiti 300 orang pelajar.

Misi
  • Mewujudkan sistem pengurusan yang telus, berkualiti dan berkesan.
  • Meningkatkan pencapaian akademik ke tahap cemerlang.
  • Meningkatkan prestasi pencapaian dan kecemerlangan ko-kurikulum dan sukan ke tahap cemerlang.
  • Melahirkan murid yang bersahsiah mulia, berkembang secara holistik dan mampu berdaya saing di peringkat global.
  • Mewujudkan persekitaran yang kondusif, ceria dan selamat.
  • Menjalin hubungan yang harmoni dalam kalangan warga sekolah dan komuniti setempat.
Visi
SMKBS Menjadi Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) Menjelang 2015.
“SBT ditakrifkan sebagai sekolah yang mempunyai etos, watak, identiti yang tersendiri dan unik serta menyerlah dalam semua aspek pendidikan mempunyai tradisi budaya kerja yang sangat tinggi dan cemerlang dengan modal insan yang berkembang secara holistik dan berterusan serta mampu berdaya saing di persada antarabangsa.”

Piagam Sekolah
SMK Batu Sepuluh, Lekir sentiasa…
  • bekerjasama, menerima pandangan serta bertindak segera untuk memenuhi kepuasan pelanggan
  • berusaha mendidik dan memberi motivasi kepada pelajar dengan penuh tanggungjawab dan kasih mesra sepanjang masa
  • melaksanakan segala arahan dan pekeliling Pejabat Pelajaran Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri dan Kementerian Pelajaran Malaysia secara bijaksana dengan segera
  • boleh dihubungi, memberi kerjasama kepada ibu bapa / penjaga demi kepentingan murid